FAKULTI PENGURUSAN DAN EKONOMI
FACULTY OF MANAGEMENT AND ECONOMICS
LEADING FUTURE MINDS

Program - Program Yang Ditawarkan

  • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Perakaunan) dengan Kepujian +
    Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Perakaunan) dengan Kepujian yang ditawarkan oleh FPE merupakan program pengajian sepenuh masa selama empat tahun atau lapan semester. Di akhir program pengajian, graduan akan ditauliahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Perakaunan) dengan kepujian. Ijazah ini bertujuan untuk melahirkan graduan yang boleh menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang pendidikan dan perakaunan. Graduan juga berupaya merancang, menganalisis, membuat keputusan dan menjalankan penyelidikan dalam bidang tersebut.
     
    Program ini direncanakan dan digubal secara teliti setelah mengambil kira keperluan kepakaran dan tenaga kerja semasa dalam semua sektor. Kurikulum program ini telah disusun dan disesuaikan daripada kurikulum program yang setara dengan institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara bagi untuk memastikan kualiti dan pengalaman pembelajaran adalah setanding dengan institusi pengajian tinggi tersebut. Untuk pengijazahan, pelajar Program Pendidikan Perakaunan perlu melengkapkan 134 unit kredit. Keunikan program pendidikan perakaunan ini adalah pelajar yang mengikuti program ini bukan sahaja dapat menguasai bidang pengkhususan malahan dapat menyampaikannya semula dengan kaedah yang sistematik bagi membolehkan pihak yang menerimanya memahami dengan jelas perkara yang disampaikan.

    Peluang Kerjaya:
    Matlamat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Perakaunan) dengan Kepujian ini adalah untuk melahirkan graduan yang mahir serta boleh menguasai pengetahuan dan kemahiran dalam kedua-dua bidang iaitu pendidikan dan disiplin perakaunan. Graduan juga dapat merancang, menganalisis, membuat keputusan dan menjalankan penyelidikan dalam bidang berkaitan. Peluang kerjaya tidak tertumpu dalam bidang pendidikan sahaja tetapi graduan juga boleh melibatkan diri dalam sektor perniagaan.

    Struktur Program:
     
    Komponen Kursus Jam Kredit
    Kursus Universiti 22
    Kursus Teras
    • Professional Pendidikan
    • Major

    26
    51
    Kursus Elektif Berpakej 27
    Latihan Mengajar 8
    Jumlah 134


    Maklumat Lanjut mengenai program:
    • Syarat - syarat kemasukan pelajar Malaysia
    • Senarai kursus yang ditawarkan
    • Cadangan agihan kursus mengikut semester bagi setiap program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Perakaunan) dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda (Perakaunan) dengan Kepujian +
    Program Ijazah Sarjana Muda (Perakaunan) dengan Kepujian direka bentuk khusus untuk memenuhi keperluan permintaan terhadap graduan perakaunan yang memiliki nilai-nilai melangkaui penguasaan kemahiran dan cabang ilmu perakaunan. Program ini menyediakan peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran insaniah yang seterusnya akan memperkukuh prinsip-prinsip pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan keperluan, cabaran dan perkembangan ekonomi negara. Struktur program ini menumpukan kepada pembentukan graduan perakaunan yang kompeten dengan kemahiran kognitif, pengurusan perniagaan dan pembuatan keputusan sesuai dengan kehendak industri.
     
    Program ini telah direka bentuk dengan mengambil kira peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan mempunyai kualiti setanding dengan program perakaunan yang ditawarkan di universiti lain samada di dalam atau di luar negara. Program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian akan menyediakan pelajar dengan pengiktirafan akademik yang diperlukan untuk peningkatan kerjaya dalam sektor awam dan swasta, peluang menjadi akauntan bertauliah, atau menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Pelajar yang diterima masuk bagi program ini perlu melengkapkan 136 jam kredit sebagai syarat bergraduat.

    Peluang Kerjaya:
    Program ini direka untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap graduan perakaunan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dari segi praktikal dan teori. Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran insaniah dalam prinsip-prinsip pembelajaran sepanjang hayat selari dengan keperluan, cabaran dan pertumbuhan akademik negara. Struktur program ini memberi penekanan untuk melahirkan graduan perakaunan yang kompeten dari segi kognitif, pengurusan pernigaan dan kemahiran dalam membuat keputusan selari dengan permintaan industri. Program ini direka dengan mengambil kira peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor bagi memastikan program ini setaraf dengan universiti tempatan dan antarabangsa. Selepas tamat pengajian, pelajar boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan atau terlibat dalam bidang berkaitan kewangan seperti institusi kewangan, firma perundingan cukai dan audit, agensi-agensi kerajaan dan pelbagai sektor korporat.

    Maklumat Lanjut mengenai program:
    • Syarat - syarat kemasukan pelajar Malaysia
    • Senarai kursus yang ditawarkan
    • Cadangan agihan kursus mengikut semester bagi setiap program Ijazah Sarjana Muda (Perakaunan) dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) dengan Kepujian +
    Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) dengan Kepujian ditawarkan dengan objektif melahirkan graduan berkualiti dalam bidang pentadbiran perniagaan terutama dalam perkhidmatan kewangan. Program ini direka bentuk berdasarkan kolaborasi dengan pihak industri bagi membolehkan graduan memperolehi manfaat dari segi kecekapan, kemahiran dan kualiti cemerlang, seterusnya memberi kelebihan daya saing dalam bidang perkhidmatan kewangan yang semakin mencabar.
     
    Selepas menamatkan pengajian dalam program ini, graduan akan berupaya untuk mempamerkan ilmu konseptual dan praktikal dalam disiplin utama yang menyokong bidang perkhidmatan kewangan, mengaplikasi kemahiran analitikal, menafsir, berkomunikasi dan membuat keputusan dalam pelbagai konteks pentadbiran perniagaan. Selain itu, graduan juga akan berupaya memahami dan memberi tindak balas bersesuaian dalam isu-isu terkini dalam industri.
     
    Program ini hanya ditawarkan kepada sejumlah kecil pelajar bagi setiap ambilan. Saiz kelas yang kecil akan membolehkan proses pembelajaran berjalan dengan lebih baik, lebih masa bersemuka untuk pelajar dan peluang terlibat secara langsung dengan industri. Pelajar yang diterima masuk bagi program ini perlu melengkapkan 121 jam kredit sebagai syarat bergraduat.

    Peluang Kerjaya:
    Objektif penawaran Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) adalah untuk melahirkan graduan yang berkualiti dalam bidang pentadbiran perniagaan dengan pengkhususan dalam perkhidmatan kewangan. Program ini telah direka bersama industri untuk melahirkan graduan yang cekap, mahir, berkualiti dan mempunyai daya saing dalambidang perkhidmatan kewangan yang semakin kompetitif. Selepas tamat pengajian, graduan dapat mempamerkan pengetahuan dari segi konsep dan praktikal dalam perkhidmatan kewangan, analisis, tafsiran, komunikasi dan kemahiran membuat keputusan dalam konteks pengurusan yang berbeza, faham dan boleh menangani isu-isu yang dihadapi dalam bidang industri. Graduan boleh menceburi bidang pekerjaan dalam pelbagai institusi kewangan.


      Maklumat Lanjut mengenai program:
    • Syarat - syarat kemasukan pelajar Malaysia
    • Senarai kursus yang ditawarkan
    • Cadangan agihan kursus mengikut semester bagi setiap program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) dengan Kepujian