MAKLUMAT UPSI

 

 

UPSI

 

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam dan berkembang secara berperingkat daripada sebuah kolej ke sebuah universiti. Proses perkembangan UPSI melalui empat era, yang bermula daripada era pertama iaitu SITC (29 November 1922 – 1957), MPSI (1957 – 1987), IPSI (21 Februari 1987 – April 1997) dan seterusnya UPSI pada tanggal 1 Mei 1997. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditubuhkan pada 1 Mei 1997 melalui Warta Kerajaan P.U. (A) 132 & 133, bertarikh 24 Februari 1997, di bawah dua Perintah, iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997. Penubuhan Universiti adalah bagi memenuhi keperluan peningkatan sumber daya manusia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan bersahsiah mulia dalam bidang-bidang sains, teknologi, pengurusan serta bidang bidang bahasa kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan dengan pendekatan khusus kepada penguasaan ilmu, teori dan amali pendidikan. Bagi menjalankan perintah kerajaan menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 bertarikh 24 Februari 1997, maka mulai Mei 1997, tertubuhlah Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikenali dengan nama singkatannya UPSI.

 

 

Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (Kampus Pertama)

 

Pembangunan infrastruktur bermula dengan pembinaan Bangunan Canselori pada tahun 1999 dan Kompleks Kediaman Siswa di Behrang Ulu yang terdiri daripada Kolej Aminuddin Baki dan Kolej Za’ba. Pada awal 2001, Gimnasium, Perpustakaan, Auditorium, Kompleks Pendidikan Muzik serta dewan-dewan kuliah yang lain telah dibangunkan sementara warisan dari era SITC, MPSI, dan IPSI sentiasa dibaik pulih. Pada tahun 2010, bangunan E-Learning melengkapkan lagi keperluan UPSI dengan menyediakan bilik kuliah bersaiz besar, bilik tutorial, makmal komputer, ruang pejabat, dewan konvensyen dan kemudahan pendidikan jarak jauh. Disebabkan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah tidak mampu menampung keperluan pelajar, maka Kampus Sultan Azlan Shah dibangunkan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Majlis Pecah Tanah Kampus Sultan Azlan Shah telah disempurnakan oleh Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 22 April 2002. Dalam titah perasmiannya baginda telah mengumumkan nama kampus utama UPSI sebagai Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang lokasinya di Tanjung Malim manakala untuk kampus baru di Proton City diberi nama Kampus Sultan Azlan Shah.

 

 

Kampus Sultan Azlan Shah (Kampus Kedua)

 

Kampus Sultan Azlan Shah telah dirancang bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-8 lagi. Dengan adanya kampus baru ini, infrastruktur pengajaran dan pembelajaran di UPSI dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih sempurna sejajar dengan kehendak kerajaan bagi memperkasa dan meningkatkan mutu pendidikan institusi pengajian tinggi awam. Pada 20 Februari 2012, Kampus Sultan Azlan Shah dengan rasminya beroperasi dengan menempatkan beberapa fakulti seperti Blok 1 - Blok 5 untuk Fakulti Sains & Matematik, Blok 6 untuk Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Blok 7 - Blok 9 untuk Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Blok 10 untuk Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Dewan Kuliah Berpusat, Dewan Besar dan Panggung Percubaan, Kafetaria, dan Pos Pengawal, Pusat Pelajar, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Surau dan Pusat Islam. Pada tahun 2013, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan juga dipindahkan dari Kampus Sultan Abdul Jalil Shah serta mula beroperasi di kampus Proton City iaitu di Blok 6. Kampus ini terletak kira-kira 8 km dari kampus sedia ada iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Tapak yang bertempat di Bandar Baru Proton City ini akan memberikan satu impak pembangunan kepada kawasan sekitar terutamanya kepada bandar Proton City. Kampus yang berdekatan dengan Pusat Komersial Bandar Proton dan Kilang Proton ini juga lengkap dengan kawasan berlatar belakangkan kehijauan Banjaran Titiwangsa yang segar dan mengasyikkan. Keindahan sumber alam semulajadi ini akan memberikan satu persekitaran yang sempurna untuk menambah nilai dalam proses pembelajaran pelajar. Kampus baru ini telah dirasmikan dengan jaya dan penuh bersejarah oleh Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 16 Jun 2012.

 

Kolej kediaman pelajar telah distrukturkan semula dan dipindahkan ke Kampus Sultan Azlan Shah. Kolej Ungku Omar (KUO) mulanya beroperasi di Taman Bahtera pada 21 November 2004 dan tamat beroperasi pada 01 Oktober 2012 untuk tujuan perpindahan ke Proton City. Kolej Ungku Omar mula beroperasi sepenuhnya di kampus baru Proton City pada 02 September 2012. Pada tahun 2013, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) juga mula beroperasi di mana tapak awal kolej ini juga adalah di Taman Bahtera. KUO dan KHAR kini menyediakan 9 blok kediaman yang berkonsepkan apartment lima tingkat yang boleh menempatkan penghuni seramai 2592 pelajar pada satu-satu masa.

 

 

Peta ke Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris